AGENDA

Kaji wujud perundangan khas lindungi kebajikan pekerja ekonomi sampingan

27 Feb 2023, 5:32 AM
Kaji wujud perundangan khas lindungi kebajikan pekerja ekonomi sampingan

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan perundangan khusus bagi menjamin kebajikan pekerja ekonomi sampingan atau mereka yang bekerja sendiri.

Menteri sumber manusia berkata golongan itu berdepan cabaran berikutan tidak dilindungi bawah akta pekerja, ordinan buruh di Sabah serta Sarawak, selain tidak mendapat faedah gaji minimum.

"Ketika ini, kita berhadapan cabaran untuk menjaga kebajikan mereka kerana tidak ada perundangan khusus yang melindungi pekerja ekonomi sampingan.

"Justeru, kita sedang cari cara mewujudkan perundangan khusus supaya kebajikan mereka dapat dilindungi secara holisitik," kata V Sivakumar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Shah Alam Azli Yusof yang ingin mengetahui sejauh mana komitmen kerajaan untuk membela nasib pekerja ekonomi sampingan.

Sivakumar menambah kementerian juga menyasar untuk melaksana semua inisiatif kerajaan terhadap pekerja sektor tersebut yang diumum dalam Belanjawan 2023, sebelum akhir tahun ini.

"Kerajaan memutuskan untuk mewajibkan mereka yang bekerja sendiri mendaftar dan mencarum bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Sebagai menteri, saya akan pastikan dasar ini dapat dilaksana sekurang-kurangnya sebelum hujung tahun ini," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM40 juta menerusi pelbagai inisatif untuk meningkatkan kemahiran dan kebajikan 30,000 pekerja ekonomi sampingan di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619