AGENDA

Batik Air kesal terlewat, baucar istimewa kepada penumpang terkesan

27 Dis 2022, 9:11 AM
Batik Air kesal terlewat, baucar istimewa kepada penumpang terkesan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Syarikat penerbangan Batik Air, yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, hari ini menyuarakan rasa kesal dengan kelewatan pelepasan penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabagsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lepas, yang amat menyusahkan ramai penumpang.

Batik Air dalam kenyataan hari ini berkata sehubungan itu pihaknya akan menghubungi semua penumpang yang terkesan, bagi menyampaikan baucar istimewa secara percuma kepada mereka.

"Punca insiden sedang disiasat, dan kami akan terus berusaha membaiki sebarang kelemahan dalam operasi kami, untuk sentiasa menambah baik penyampaian perkhidmatan kami kepada pelanggan.

“Kami amat kesal dengan kelewatan yang mengakibatkan rasa tidak selesa kepada penumpang dan kaum keluarga masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya baucar makan disediakan semasa kelewatan, namun kemudahan lain seperti penginapan tidak dapat disediakan kerana kemudahan bilik hotel yang sudah habis ditempah, dan tiada outlet makan dibuka di terminal itu selepas tengah malam.

"Kami tidak berniat untuk mengakibatkan sebarang kelewatan yang berlarutan, dan kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan ini telah diperbetulkan, dan operasi kami di terminal telah kembali normal,” menurutnya.

Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa Batik Air memohon maaf dan memikul tanggungjawab terhadap insiden itu.

Loke dilaporkan berkata demikian malam tadi sebagai jawapan kepada Twitter seorang pengguna bernama Mohd Firdaus Jailan (@firdausjailan) yang berkata beliau terkandas di KLIA selama lebih tujuh jam disebabkan kelewatan.

"Salam Saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair... mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab," jawapan Loke.

Tweet video Firdaus meraih lebih sejuta perhatian apabila ia memaparkan penumpang yang terkandas tidur di bangku berhampiran dengan pintu pelepasan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619