AGENDA

Kementerian siasat data penumpang, staf AirAsia bocor akibat digodam

10 Dis 2022, 11:35 AM
Kementerian siasat data penumpang, staf AirAsia bocor akibat digodam

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Siasatan awal berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia mendapati, berlakunya serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia pada 12 November lepas yang berpunca dari akses tanpa kebenaran, mengakibatkan serangan perisian tebusan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata serangan siber itu berpotensi menyebabkan kebocoran data dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan serta impak keseluruhan insiden yang berlaku.

“Pasukan penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM), telah memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A, yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember 2022.

“Susulan daripada perbincangan tersebut, Capital A telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan, dengan siasatan kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

Fahmi menegaskan kementerian itu mengambil serius dakwaan berhubung insiden ketirisan data peribadi, akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.

Beliau turut menggesa semua pengguna data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Selain daripada itu, pengguna data hendaklah menggariskan polisi keselamatan siber dan memastikan polisi tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada bulan lepas, media tempatan melaporkan data peribadi penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah itu didakwa mengalami kebocoran selepas digodam kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619