AGENDA

Polis tahan 152 disyaki terlibat judi bola sepak Piala Dunia

29 Nov 2022, 2:31 PM
Polis tahan 152 disyaki terlibat judi bola sepak Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 152 individu menerusi Op Soga IX sejak 19 November lepas hingga semalam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dalam tempoh berkenaan pihaknya turut merampas pelbagai barang, antaranya nilai had kredit di dalam perisian berjumlah RM3,177,293.17, wang tunai RM113,140, komputer, telefon bimbit dan kertas-kertas catatan pertaruhan.

Beliau berkata Selangor merekodkan tangkapan terbanyak dengan 38 individu diikuti Johor (29), Pulau Pinang (18), Sarawak (15), Kedah (12), Negeri Sembilan (11), Kuala Lumpur (tujuh), masing-masing enam di Sabah dan Pahang, Melaka (empat), Perak (tiga), Kelantan (dua) dan Terengganu (satu).

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noorsiah berkata Op Soga IX akan dijalankan hingga 21 Disember ini dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian supaya menyalurkannya melalui hotline WhatsApp Op Soga IX dengan menelefon 016-5773477.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619