AGENDA

KPDNHEP jamin bekalan tepung gandum negara tidak terjejas

17 Mei 2022, 12:52 PM
KPDNHEP jamin bekalan tepung gandum negara tidak terjejas

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Bekalan tepung gandum negara dijangka tidak terjejas di sebalik larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya adalah dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

“Justeru larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum negara,” menurut KPDNHEP dalam catatan di Twitter hari ini.

Menurut kementerian itu, sebanyak 2,200 penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran.

Ketua Pengarah Perdagangan Luar Negara di bawah Kementerian Perdagangan dalam satu pemberitahuan bertarikh 13 Mei memaklumkan India menghentikan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan makanannya.

Eksport gandum ke negara lain hanya dibenarkan ‘atas kelulusan kerajaan India dan berdasarkan permintaan kerajaan mereka’.

India mengeksport tujuh juta tan metrik gandum bernilai kira-kira AS$2 bilion pada tahun kewangan 2021-22 dan separuh daripadanya dibeli oleh Bangladesh.

Laporan media baru-baru ini menyatakan pengeluaran gandum India tahun ini terjejas akibat gelombang haba selain negara itu juga berdepan peningkatan inflasi makanan berikutan harga komoditi global lebih tinggi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619