AGENDA

Waktu operasi 6 pejabat imigresen dilanjutkan hingga 10 malam mulai Rabu

9 Mei 2022, 7:35 AM
Waktu operasi 6 pejabat imigresen dilanjutkan hingga 10 malam mulai Rabu

PUTRAJAYA, 9 MEI: Waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM) dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi dilanjutkan hingga 6 petang mulai Rabu ini (11 Mei).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata ia merupakan antara langkah penambahbaikan Jabatan Imigresen bagi mengatasi kesulitan berhubung permohonan serta pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), selain akan menambah jumlah petugas untuk mengendalikan proses PMA.

Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.

Semua pejabat pengeluaran pasport di Semenanjung Malaysia juga akan beroperasi pada hari Sabtu dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari mulai 14 Mei, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata semua kaunter Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung akan dibuka hingga 10 malam.

Khairul Dzaimee berkata terdapat peningkatan kira-kira 40 peratus dalam pengeluaran PMA iaitu sejumlah 165,449 dalam tempoh 1 April hingga 6 Mei lepas berbanding 111,931 pada Mac lepas.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyediakan kaunter khas untuk bakal jemaah haji yang telah mendapat surat tawaran bagi memudahkan urusan permohonan PMA golongan terbabit.

“Mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada TH (Tabung Haji),” katanya.

Susulan kesesakan dalam Sistem Temujanji Online (STO), Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen memutuskan untuk menyeragamkan pemansuhan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai Rabu ini.

Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Imigresen akan memansuhkan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang mulai 9 Mei, manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka pula mulai 16 Mei.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619