AGENDA

Imigresen tumpas sindiket seludup warga Indonesia

7 Jun 2024, 1:19 PM
Imigresen tumpas sindiket seludup warga Indonesia

PUTRAJAYA, 7 JUN: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan 'Geng Broga’ yang disyaki sindiket penyeludupan warga Indonesia dalam operasi khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata 12 individu warganegara berkenaan ditahan dalam operasi bermula 8.05 malam melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipandu tiga individu dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka mula memecutkan kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki dalang dan dua lelaki tempatan disyaki sebagai ‘transporter’ (pengangkut) berusia antara 31 hingga 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata turut ditahan dua lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki, kesemuanya warganegara Indonesia.

Menurut Ruslin hasil soal siasat, pasukan operasi telah diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan berjaya menahan lapan lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba dari negara terbabit melalui laluan laut.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 15 individu berusia lingkungan 5 hingga 52 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dua lelaki warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa di negara ini manakala 10 lagi warganegara Indonesia termasuk wanita dan kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Ruslin berkata turut dirampas lima pasport Indonesia, wang tunai RM6,200 serta tiga kereta berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut individu terbabit.

Menurut Ruslin modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar mengunakan kapal nelayan sebelum menukar kepada bot kecil di tengah lautan.

“Dalang sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun,” katanya.

Kesemua lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala kesemua warganegara Indonesia ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) dan 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619