AGENDA

KPDNHEP tumpas aktiviti seleweng diesel bersubsidi di Klang

11 Apr 2022, 9:51 AM
KPDNHEP tumpas aktiviti seleweng diesel bersubsidi di Klang

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dipercayai melibatkan sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada Khamis lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata aktiviti penyelewengan tersebut terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyerbu stesen minyak itu pukul 9 malam dan ketika serbuan, sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki simpanannya.

Menurutnya, pemandu lori terbabit telah membuat bayaran RM1,000 secara tunai di stesen minyak tersebut untuk membuat pengisian, dan ketika serbuan itu, pemandu lori itu baru sahaja membuat pengisian minyak berjumlah RM250.

Azman dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan dua kompartmen tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter di lori berkenaan.

Beliau berkata minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder CCTV, invois, resit jualan dan belian berserta dokumen perniagaan dari stesen minyak berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50.

Azman berkata seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes ini dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula dari stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

Syarikat terbabit juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613), katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619