AGENDA

Tanah runtuh: Pegawai APM, pemilik akaun Facebook dipanggil beri keterangan esok

14 Mac 2022, 9:42 AM
Tanah runtuh: Pegawai APM, pemilik akaun Facebook dipanggil beri keterangan esok

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Polis akan memanggil seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seorang pemilik akaun Facebook, bagi membantu siasatan beberapa kes yang berkaitan dengan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini Khamis lepas.

Pegawai APM berkenaan akan dipanggil kerana dikatakan memasuki lokasi kejadian tanpa kebenaran, manakala pemilik akaun Facebook pula kerana memuat naik video Komander Operasi Bencana ketika sedang memberi arahan di lokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua individu itu akan dipanggil pada 11 pagi esok untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Semalam, polis membuka kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai APM memasuki kawasan tanah runtuh berkenaan, dikatakan tanpa kebenaran.

Dalam video berdurasi selama 55 saat yang tular sejak semalam itu, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, kira-kira 6 petang pada Khamis lepas itu telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619