AGENDA

Tanah runtuh: Pegawai kanan kerajaan antara tujuh individu beri keterangan

15 Mac 2022, 10:12 AM
Tanah runtuh: Pegawai kanan kerajaan antara tujuh individu beri keterangan

KUALA LUMPUR, 15 MAC:  Seorang pegawai kanan kerajaan antara tujuh pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa kejadian tanah runtuh di kawasan Taman Bukit Permai 2, Ampang, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata pegawai kehormat APM berusia 38 tahun itu selesai memberi keterangan bersama individu yang menularkan video berkenaan semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota sukarelawan APM itu menularkan video berkenaan dan kemudiannya ditahan selepas memberi keterangan kerana positif dadah jenis methamphetamine serta memiliki aplikasi perjudian dalam talian di telefon bimbit miliknya.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan manakala pegawai berkenaan dibenar pulang selepas keterangannya direkodkan polis. Lima lelaki yang juga anggota APM yang berada di lokasi kejadian turut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini untuk siasatan,” katanya.

Sebelum ini Bernama melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai APM memasuki kawasan tanah runtuh berkenaan, dikatakan tanpa kebenaran.

Dalam video berdurasi selama 55 saat yang tular sejak semalam itu, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, kira-kira 6 petang pada Khamis lepas itu telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619