AGENDA

Gim kembali beroperasi kecuali di negeri fasa satu PPN

18 Sep 2021, 12:11 AM
Gim kembali beroperasi kecuali di negeri fasa satu PPN

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Semua pusat gimnasium, kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dibenarkan kembali beroperasi, namun terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dimuat naik di telegram rasmi mereka.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam perkongsian di laman Twitter beliau mengingatkan semua pihak supaya mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Gimnasium kini dibuka untuk operasi. Sila ikuti SOP dan terutamanya garis panduan pengudaraan. Nikmati kehidupan sihat!,” katanya sambil berkongsi infografik MKN yang dikemas kini pada Jumaat.

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) dibenarkan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN, dengan pematuhan 50 peratus kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula adalah tidak melebihi 60 peratus tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi untuk Fasa Dua dan 80 peratus untuk Fasa Tiga.

Hanya individu yang telah lengkap vaksinasi boleh menggunakan kemudahan itu dan mereka dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, di bawah Fasa Empat PPN semua fasiliti sukan dan rekreasi komersial adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus merangkumi penggunaan pelanggan atau pengguna dan kehadiran pekerja.

Waktu operasi pula adalah tertakluk kepada syarat lesen, sementara pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi awam di Fasa Empat juga tertakluk kepada PBT dan pihak berkuasa berkaitan.

Manakala di bawah Fasa Satu PPN, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup, kecuali gimnasium dan pusat kecergasan, dibenarkan dengan pematuhan 50 peratus kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula dibenarkan tidak melebihi 60 peratus, merangkumi pengurusan dan operasi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619