AGENDA

MKN, agensi kerjasama mantap kawalan sempadan Thailand

16 Apr 2024, 2:53 AM
MKN, agensi kerjasama mantap kawalan sempadan Thailand

ALOR SETAR, 16 APRIL: Kerjasama erat antara agensi keselamatan dalam melaksanakan kawalan dan operasi bersepadu dapat memastikan keselamatan di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand terus terpelihara sekali gus menjamin keselamatan negara.

Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah Zuraini Mohd Yusof berkata kerjasama itu sangat penting memandangkan negeri ini mempunyai keluasan sempadan yang agak besar dengan negara jiran.

"Keselamatan di sempadan itu menjadi keutamaan kita (MKN). Memang kita sasar untuk capai sifar pencerobohan walaupun susah nak realisasikan, tapi kita beri keutamaan supaya dapat meminimumkan pencerobohan daripada berlaku.

"MKN menyelaras operasi menyeluruh melibatkan agensi-agensi keselamatan di negara kita...kolaborasi antara jabatan terutama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri sendiri sangat baik," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Zuraini berkata kerjasama rapat termasuk melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan pasukan tentera yang bersama-sama melaksanakan kawalan keselamatan ketika ini berjaya meminimumkan kes melibatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Zuraini berkata MKN Kedah sememangnya memberi fokus utama berkaitan keselamatan sempadan di negeri ini yang mempunyai pintu masuk sempadan di darat, laut dan udara.

Beliau berkata walaupun jumlah kes pencerobohan melibatkan pendatang tanpa izin di negeri ini masih minimum, namun usaha membanteras aktiviti itu dan jenayah lain yang mengancam keselamatan negara perlu sentiasa dipertingkatkan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat juga perlu sentiasa diberi kesedaran berkenaan ancaman keselamatan dan boleh memainkan peranan untuk membanterasnya serta tidak meletakkan tanggungjawab itu kepada agensi kerajaan semata-mata.

"Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara dan kami percaya kesedaran ini perlu dipupuk daripada awal iaitu di peringkat sekolah...termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619