AGENDA

MKN, KPM bincang kelonggaran rentas daerah, negeri hantar anak ke sekolah

23 Feb 2021, 11:13 AM
MKN, KPM bincang kelonggaran rentas daerah, negeri hantar anak ke sekolah

KUALA LUMPUR 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok mengenai kelonggaran kepada ibu bapa merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan perbincangan itu akan diumumkan Khamis ini dengan mengambil kira sekolah bakal dibuka secara berperingkat bermula 1 Mac.

"Jika pekerja boleh merentas daerah hanya dengan (menunjukkan) surat majikan tanpa (surat) kebenaran (daripada) polis, saya akan berbincang dengan KPM mengenai ini. Khamis ini kita umum.

"Kalau boleh, surat kemasukan asrama dan sebagainya serta surat daripada guru disediakan (oleh KPM) sebagai surat kebenaran khas kepada ibu bapa yang akan menghantar anak mereka ke sekolah atau asrama di luar daerah atau negeri," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Jumaat lepas, KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Mengulas sama ada kerajaan akan membenarkan perkhidmatan merias dan merawat kuku beroperasi di dalam kawasan PKP, Ismail Sabri berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat teknikal esok sebelum membuat pengumuman Khamis ini.

“Saya faham rungutan ini, saya juga menerima permohonan hampir setiap hari. Di kawasan PKPB dan PKPP telah pun dibenarkan beroperasi dan yang memohon ini di kawasan PKP di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Beliau juga berkata setakat ini, kerajaan masih belum memberi kebenaran merentas negeri bagi yang berstatus PKPB namun dibolehkan dengan kebenaran polis sekiranya ada keperluan mendesak.

“... tetapi seperti yang kita tahu, status PKP, PKPB dan PKPP ini akan kita ketahui selepas tamatnya ketiga-tiga PKP ini pada 4 Mac dan dua hari sebelum itu, saya akan umumkan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619