AGENDA

Dokumen JPJ rosak akibat banjir boleh diganti percuma

7 Jan 2021, 2:13 PM
Dokumen JPJ rosak akibat banjir boleh diganti percuma

PUTRAJAYA, 7 JAN: Mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan dokumen penting Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) boleh mendapatkan gantian percuma hingga 15 April ini.

Menurut kenyataan JPJ hari ini, inisiatif gantian percuma itu yang berkuat kuasa serta-merta, merupakan antara langkah diambil jabatan tersebut untuk membantu masyarakat yang terkesan oleh banjir.

Pemilik dokumen perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian, manakala bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlu membuat laporan polis dan mengemukakan laporan itu sebagai bukti kehilangan untuk mendapatkan gantian dokumen baharu, demikian menurut kenyataan tersebut.

Berikutan situasi banjir sekarang, JPJ turut memberi kelonggaran dari segi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan atau individu yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) atau bilik gerakan banjir sehingga situasi reda dan terkawal.

Menurut kenyataan itu lagi, unit kaunter bergerak JPJ (JPJ Mobile) akan ditempatkan di kawasan terpilih khususnya di PPS bagi memudahkan masyarakat setempat yang mengalami impak banjir mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.

Pejabat JPJ di seluruh negara juga telah diarahkan bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga atau menggerakkan aset-aset kenderaan JPJ sekiranya bersesuaian ketika banjir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619