AGENDA

KPDNHEP rampas baju, seluar jenama tiruan bernilai lebih RM67,000

20 Nov 2020, 6:04 AM
KPDNHEP rampas baju, seluar jenama tiruan bernilai lebih RM67,000

PUTRAJAYA, 20 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian melalui satu operasi yang dijalankan di sebuah kediaman di Taman Cheras Jaya di Balakong, Selangor pada Selasa lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas pelbagai baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan dengan nilai dianggarkan RM67,750.

"Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga yang lebih murah daripada pasaran bagi menarik perhatian pembeli di tapak pasar dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, pengadu yang juga wakil pemilik cap dagang berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran barangan tiruan tersebut selepas membuat pesanan dalam talian menerusi alamat peniaga yang tertera pada bungkusan yang dikirimkan.

"Rentetan daripada urus niaga itu, pengadu telah membuat perbandingan dengan pakaian jenama yang asli. Setelah mengenal pasti pakaian yang dibeli adalah tiruan, pengadu membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan yang selanjutnya," katanya.

Iskandar Halim berkata dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619