AGENDA

PKPB: Jaguh tenpin boling rangka latihan sendiri, pastikan prestasi terbaik

18 Okt 2020, 3:56 AM
PKPB: Jaguh tenpin boling rangka latihan sendiri, pastikan prestasi terbaik

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Akur terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang membataskan latihan di gelanggang, jaguh tenpin boling negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman sudah membuat perancangan latihan sendiri, bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata, pengalaman menjalani latihan sendiri selama lebih tiga bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, menjadikan beliau lebih bersedia menjalani latihan dalam situasi sama ketika PKPB kali ini.

Menurut beliau, cabaran bagi pemain boling yang 'meninggalkan' latihan bagi tempoh yang lama pada kebiasaannya, akan mengalami kesakitan pada bahagian jari dan pergelangan tangan.

“Jari saya kalau kecut sebab kurang latihan akan senang luka dan susah untuk membuat balingan terbaik nanti, apabila kembali jalani latihan di gelanggang. Jadi kena banyakkan menghayun bola boling semasa buat latihan di rumah.

“Maksudnya, masih ada rasa cengkaman. Itu salah satu latihan supaya pergelangan tangan tidak lembik apabila kembali di gelanggang,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Skuad tenpin boling sebelum ini sudah menjalani kuarantin 14 hari bermula 27 September lalu, selepas peningkatan kes Covid-19 termasuk yang dikesan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, yang menjadi venue latihan pasukan kebangsaan.

Mereka hanya sempat menjalani latihan sehari iaitu pada 12 Oktober sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa dari 14 hingga 27 Oktober.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619