AGENDA

Skuad boling lelaki cipta sejarah, rangkul trofi Piala Dunia

14 Jan 2025, 11:38 AM
Skuad boling lelaki cipta sejarah, rangkul trofi Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Skuad boling lelaki negara mencipta sejarah apabila buat pertama kali merangkul trofi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Kowloon, Hong Kong hari ini.

Pada aksi final di Top Bowl, Kai Tak Sports Park, pasukan negara berdepan cabaran hebat untuk menewaskan Puerto Rico 3-2 (203-179, 216-257, 197-180, 185-222, 227-161).

Pasukan lelaki ini terdiri daripada Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Ini adalah gelaran pertama untuk pasukan lelaki negara sejak acara berpasukan diperkenalkan pada 2022, di mana mereka tewas 2-3 kepada Filipina pada suku akhir edisi terdahulu di Queensland, Australia.

Sebelum itu, Malaysia menewaskan Kuwait 3-1 (205-153, 159-201, 245-206,234-233) untuk mara ke final, manakala Puerto Rico berjaya membalas kekalahan 1-3 kepada juara bertahan Amerika Syarikat dalam final edisi lepas dengan mengalahkan lawan yang sama 3-1 (186-175, 158-234, 200-196,210-177).

Sementara itu, pada perlawanan final, skuad wanita negara gagal merebut kejuaraan selepas tewas kepada Amerika Syarikat 3-2 dengan keputusan 195-214, 222-211, 176-198, 220-210, 180-211.

Pasukan wanita yang diketuai pemain nombor satu Asia, Sin Li Jane, bersama juara dunia semasa Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim, sebelum ini menewaskan Macau 3-0 (202-184, 211-178, 205-176) untuk mara ke perlawanan akhir.

Untuk rekod, dalam edisi lepas, pasukan wanita hanya meraih pingat gangsa pada 2022 selepas mengatasi Amerika Syarikat 3-2 dalam perlawanan penentuan pingat di Queensland, Australia.

Pada 2022, struktur kejohanan telah diubah untuk memberi fokus kepada perlawanan berpasukan dan memperkenalkan pertandingan berpasukan, beralih daripada format asal yang hanya melibatkan pertandingan individu sejak 1965.

Pada Jumaat lepas, Natasha menamatkan penantian 53 tahun negara apabila menjadi wanita Malaysia pertama memenangi Piala Dunia, mengalahkan wakil Jerman, Birgit Noreiks 2-0 (217-166, 226-169) dalam final perseorangan wanita.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619