AGENDA

Covid-19: KKM mahu pelaksanaan PKPB diperketat

18 Okt 2020, 1:15 PM
Covid-19: KKM mahu pelaksanaan PKPB diperketat

PUTRAJAYA, 18 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diperketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“… kita perketatkan dan benarkan sektor ekonomi sahaja,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Katanya segala bentuk perhimpunan melibatkan jumlah peserta yang besar perlu dikurangkan agar penularan Covid-19 dapat diputuskan.

Pelaksanaan PKPB yang antara lain menyaksikan institusi pendidikan ditutup selain majikan diminta aktifkan pelan bekerja dari rumah dan penggiliran bagi pekerja mereka, berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 hingga 26 Oktober ini.

Semalam, Mesyuarat Khas MKN memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal serta dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober ini (esok).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tatacara operasi piawai (SOP) bagi penjara akan dikaji semula bagi memastikan jangkitan di tempat tersebut dapat dikurangkan.

KKM bersama-sama Jabatan Penjara akan perkemaskan SOP itu, katanya.

Ditanya sama ada virus mutasi D614G dikesan dalam kluster di Selangor, Dr Noor Hisham berkata kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memerlukan masa satu hingga dua minggu lagi sebelum dapat mengenal pasti sama ada D614G turut dikesan di negeri itu.

IMR sebelum ini mengesan virus mutasi tersebut dalam kluster Sivagangga di Kedah, seterusnya di Sabah, kluster Sungai (Kedah) dan kluster Ulu Tiram di Johor, katanya.

Jelasnya virus mutasi itu menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penularan lebih meluas.

Sehubungan itu, beliau mengulangi nasihat agar orang ramai memastikan pematuhan SOP pada sepanjang masa termasuk pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelakkan perhimpunan.

Menurutnya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, KKM berjaya mengawal penularan pandemik dalam tempoh empat minggu kerana semua rakyat duduk di rumah.

Malah katanya walaupun KKM terlewat 10 hari melaksanakan intervensi bagi kluster Sri Petaling, penularan daripada kluster itu dapat dikawal dalam tempoh 100 hari.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619