AGENDA

Tiada cadangan import benih padi - timbalan menteri

26 Ogos 2020, 4:36 AM
Tiada cadangan import benih padi - timbalan menteri

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) tidak bercadang untuk mengimport benih padi dari luar negara kerana penghasilan daripada varieti padi tempatan adalah lebih tinggi berbanding jika menggunakan benih import.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Hamzah berkata pada masa ini, Mafi telah menghasilkan beberapa padi awal matang yang boleh dituai dalam masa 110 hari dan menghasilkan sehingga tujuh hingga 10 tan padi sehektar.

"Benih-benih seperti MR253, MR220, MR303 dan MR307 menjana penghasilan yang lebih tinggi dan pembelian benih padi dari luar adalah tidak disyorkan buat masa sekarang," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahukan penjelasan adakah Mafi bercadang mengimport benih padi dari negara yang lebih terkedepan dalam penghasilan padi seperti Thailand bagi menjamin simpanan beras negara.

Ahmad berkata faktor jenis tanah dan cuaca di negara lain yang berbeza dengan negara ini juga mempengaruhi jumlah penghasilan padi, justeru pengimportan benih padi dari luar bukan jaminan penghasilan yang sama seperti negara asal.

Menjawab soalan asal mengenai status penyelidikan dan pelaksanaan penanaman padi tiga kali setahun serta kesan kepada simpanan beras dan keselamatan makanan negara, Ahmad berkata pelaksanaan penanaman padi tiga kali setahun tidak digalakkan buat masa ini atas beberapa faktor.

Antaranya ialah hasil kajian dijalankan, ia tidak memberikan peningkatan hasil kepada pesawah malah kos pengeluaran meningkat, serangan penyakit yang sukar kerana penanaman di luar musim sedia ada dan bebanan kewangan kepada kerajaan kerana pemberian subsidi input dan ouput.

Buat masa ini katanya, penanaman padi negara adalah dua kali setahun di kawasan jelapang dan sekali setahun di luar jelapang dengan 40 peratus pengeluaran dari kawasan jelapang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619