SELANGOR

Selangor e-Bazar Raya berjaya lonjak pendapatan usahawan

29 Jul 2020, 9:43 AM
Selangor e-Bazar Raya berjaya lonjak pendapatan usahawan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee berjaya melonjakkan pendapatan usahawan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Pengusaha pakaian muslimah, Zaharah Aris, 55, berkata beliau memperoleh anggaran pendapatan berjumlah RM50,000 dalam tempoh dua bulan kempen berlangsung.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan Shopee kerana memberi saya peluang menceburi bahagian digitalisasi.

“Saya sebenarnya ada butik secara konvensional tetapi apabila PKP dilaksanakan saya buntu dan terus ambil keputusan menyertai Selangor e-bazar,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Negeri hari ini.

Beliau berkata tawaran baucar pembelian RM1 juta yang diperuntukkan Kerajaan Selangor berjaya menarik pelanggan untuk berbelanja dan menggalakkan usahawan lain untuk menceburi perniagaan secara dalam talian.

Bagi usahawan produk makanan kering, Humaira Mohd Khorie, 39, pula berkata pendapatannya meningkat tiga kali ganda menerusi e-bazar.

Katanya sebelum ini beliau hanya memasarkan produk menerusi media sosial Facebook dan tidak pernah menggunakan aliran perniagaan seperti Shopee.

“Memang banyak perbezaan kerana dengan perniagaan dalam talian memudahkan capaian kita dengan pelanggan.

“Produk kami sudah dikenali di utara (semenanjung) tetapi kita nak pasarkan luar utara dan Alhamdulillah setakat ini reaksi pengguna sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hikmatul Khasanah, 23, berkata penyertaan Selangor e-Bazar Raya ini berjaya memperkenalkan produk makanannya kepada pengguna di seluruh Malaysia.

"Melalui Shopee saya pernah memperoleh 590 tempahan dalam masa sehari dan produk menjadi tumpuan adalah sambal pecal, sambal goreng Jawa dan kerepek peria," katanya.

Kempen Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee yang berakhir 4 Julai lalu merupakan kerjasama julung kali antara Kerajaan Negeri dengan pengendali laman e-dagang terkemuka bagi membantu peniaga terjejas ketika PKP akibat penularan Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619