AGENDA

Pasca PKP: Pelancongan domestik dijangka berkembang

30 Jun 2020, 2:02 PM
Pasca PKP: Pelancongan domestik dijangka berkembang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Aktiviti pelancongan domestik negara dijangka berkembang 30 peratus bagi tempoh enam bulan hingga setahun, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata berdasarkan dapatan kajian agensi itu, pelancong tempatan dilihat lebih berani untuk melancong dalam negara semasa tempoh itu.

Jelasnya, corak pelancongan domestik juga dijangka berubah dengan segmen pelancongan keluarga menjadi pilihan utama.

"Sebaik sahaja Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, kita lihat rakyat mula melancong di dalam negara selepas tarikh itu.

"Malah kajian mendapati trend melancong selepas ini, orang pilih melancong dengan keluarga. Oleh itu, pemain industri perlu bersedia dengan produk dan tawaran yang sesuai dengan permintaan segmen ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Seminar Pasca PKP Pemulihan Sektor Pelancongan dan pelancaran portal pelancongan domestik ditofa.com, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Datuk Mohd Khalid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif ditofa.com Haffiz Halim.

Mengenai portal ditofa.com, Ammar berkata platform digital yang dibangunkan oleh anak tempatan itu adalah sebagai usaha membantu pemain industri bagi memasarkan serta mempromosi produk dan tawaran pelancongan mereka, khususnya selepas berdepan impak penularan Covid-19.

Beliau berkata portal itu bukan sahaja memudahkan tempahan hotel dan penginapan, malah ia menyediakan tawaran menarik bagi kategori Umrah, lokasi tarikan pelancong dan aktiviti pelancongan lain.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619