AGENDA

PKP: 30,403 anggota Rela bantu polis, tentera

6 Feb 2021, 12:30 AM
PKP: 30,403 anggota Rela bantu polis, tentera

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah menggerakkan 30,403 anggotanya ke 157 daerah seluruh negara bagi pelbagai tugasan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Yahya Sulaiman berkata tugasan itu adalah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan PKP dipatuhi orang ramai.

“Antara peranan Rela ialah membantu PDRM dalam ‘task force’ penguatkuasaan, sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan di kawasan perumahan, kampung, pasaraya, bank serta pemantauan pematuhan SOP (tatcara operasi piawai) tempat tumpuan ramai," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya anggota Rela juga ditugaskan membantu kawalan keselamatan perimeter sekitar lokasi PKP, pusat atau stesen kuarantin, hospital dan membantu proses saringan kesihatan di pintu masuk utama negara selain menghantar sumbangan barangan keperluan dengan penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata Rela sedia menggandakan bilangan anggota dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 ekoran pengumuman terkini kerajaan berhubung pelanjutan tempoh PKP.

“Anggota Rela diarah membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis perniagaan, tapak pembinaan, perkilangan, rumah ibadah, pasar malam serta taman awam.

“Sehubungan itu, anggota Rela melaksanakan tugasan ‘omnipresent’ (keberadaan) serta aktiviti pemantauan terhadap pematuhan kepada SOP berkaitan, memberi nasihat, teguran dan peringatan, kepada orang ramai melalui aktiviti hebahan kempen kesihatan mengenai amalan pencegahan penularan Covid-19,” katanya.

Yahya berkata anggota Rela juga diminta melaksanakan kempen kesedaran berkaitan Covid-19 secara berterusan dalam komuniti.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619