AGENDA

Prolintas ambil inisiatif berterusan banteras malaria

27 Jun 2020, 4:41 AM
Prolintas ambil inisiatif berterusan banteras malaria

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Pemegang konsesi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang, Kumpulan Syarikat Prolintas menjalankan inisiatif berterusan bagi membanteras penularan malaria.

Merujuk kes penularan di Ampang, ProLintas dalam kenyataan hari ini berkata antara inisiatif diambil adalah membersihkan penempatan pekerja dan tapak pembinaan, merobohkan penempatan sementara dan pembinaan semula penempatan lebih tersusun untuk memastikan kebersihan sekeliling terjaga.

“Penyemburan cecair juga dibuat bagi tujuan kawalan vektor, melantik operator kawalan serangga berdaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aktiviti semburan kabus secara berkala," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Prolintas turut melantik warden bagi mengawal pergerakan pekerja yang dihadkan serta mengemas kini senarai pekerja di tapak bina bagi tujuan pemantauan.

Semalam, KKM memaklumkan kes malaria membabitkan 14 individu termasuk seorang warga tempatan di Ampang disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia dan merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan.

Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun dan hingga kini tiada laporan jangkitan baharu.

Prolintas turut memaklumkan pihaknya melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara berterusan terhadap semua pekerja warga asing bagi memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619