AGENDA

Imigresen tahan pendatang asing kerja di stesen minyak

19 Jun 2020, 2:19 PM
Imigresen tahan pendatang asing kerja di stesen minyak

PUTRAJAYA, 19 JUN: Seramai 12 pendatang asing yang bekerja di sebuah stesen minyak yang mempunyai kiosk makanan dan pusat cuci kereta di Petaling Jaya, Selangor ditahan apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata maklumat dan risikan awal mendapati warga asing terbabit bekerja sebagai juruwang, tukang masak, tukang cuci kereta dan pekerja barisan hadapan di premis tersebut.

Enam lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki warga India yang ditahan didapati tidak memiliki pas atau permit sah untuk bekerja di premis itu serta menyalahgunakan pas atau permit sedia ada.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mereka dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya di sini untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi setelah keputusan didapati negatif.

Beliau berkata kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan susulan.

Khairul Dzaimee berkata dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan kepada majikan premis perniagaan bagi membantu siasatan.

"Jabatan ini akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan memastikan semua pegawai Imigresen memberikan komitmen serta mematuhi norma baharu dalam menghadapi wabak Covid-19 bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619