AGENDA

Berlaku adil ahli parlimen bawa isu rakyat, hentikan intimidasi politik - Dr Wan Azizah

17 Jun 2020, 3:00 PM
Berlaku adil ahli parlimen bawa isu rakyat, hentikan intimidasi politik - Dr Wan Azizah

SHAH ALAM, 17 JUN: Pihak berkuasa perlu berlaku adil sementara Kerajaan Persekutuan tidak melakukan intimidasi politik terhadap ahli parlimen yang menyuarakan isu rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil memberikan keterangan kepada polis semalam berhubung persoalan mengenai perkembangan Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur di Twitter baru-baru ini.

"Adakah salah bagi Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut sama merangka pelan strategik tersebut menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini?" kata ahli parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini.

Pelan strategi yang dilancarkan pada 16 Januari lalu merupakan langkah dirangka kementerian mencari penyelesaian isu ini kerana urusan perkahwinan orang Islam berada dalam bidang kuasa Negeri.

Terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju terhadap draf pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) yang menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

Antara negeri berkenaan adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619