AGENDA

778,800 menganggur pada April, tertinggi sejak 1989

15 Jun 2020, 9:27 AM
778,800 menganggur pada April, tertinggi sejak 1989

SHAH ALAM, 15 JUN: Kadar pengangguran negara meningkat 48.8 peratus kepada 778,800 orang setakat April tahun ini, kata ketua perangkawan Malaysia.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata angka tersebut menjadikannya berada pada tahap 5.0 peratus, tertinggi sejak 1989 kesan penutupan sebahagian besar perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Berdasarkan survei tenaga buruh (STB) jumlah penduduk bekerja pada April menurun 299,000 daripada keseluruhan 15.23 juta direkodkan pada Mac lalu.

"Pekerja paling terjejas adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan, makanan dan minuman; kesenian, hiburan, rekreasi serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Uzir berkata laporan mendapati bilangan rakyat bekerja sendiri adalah 2.59 juta dengan sebahagian besar terdiri peniaga atau pengusaha kecil di pasar tani, pasar malam, katering, gerai, pekerja bebas, pekebun kecil dan pelancongan dengan mereka terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.

Katanya, PKP turut memberi kesan kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April lalu namun kumpulan tersebut tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kadar pengangguran tahunan pada tahap 5.0 peratus adalah pada 1989 dan kadar tertinggi pada 1986 (7.4 peratus) manakala tahun lalu (3.4 peratus).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619