AGENDA

PM: Perkasa komuniti, ambil tanggungjawab cegah Covid-19

28 Mei 2020, 12:55 PM
PM: Perkasa komuniti, ambil tanggungjawab cegah Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pemimpin komuniti perlu memperkasakan komuniti masing-masing untuk mengambil tanggungjawab melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata berkata sehubungan itu, kempen akan dilakukan bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dipatuhi dan sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

Ia merupakan antara perkara yang dibincangkan oleh perdana menteri dalam sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tengah hari tadi berkenaan perkembangan terkini situasi Covid-19 di Malaysia.

“Langkah ini juga sangat penting dalam merangka “exit plan” bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga merupakan kriteria terakhir yang mesti dipenuhi sebelum PKPB boleh ditamatkan,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Facebook beliau hari ini.

Perkara lain yang turut dibincangkan dalam sidang video berlangsung selama 40 minit ialah proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin yang disahkan negatif Covid-19.

Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan proses itu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan virus itu dalam kalangan pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen.

“Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi Covid-19 seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Dr Noor Hisham.

“Saya percaya sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasama dan mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing, negara kita akhirnya akan berjaya mengakhiri penularan wabak Covid-19,” katanya.

Pada masa yang sama, perdana menteri turut menafikan dakwaan kononnya beliau kini berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali. Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

“Namun dalam keadaan negara masih berperang melawan wabak Covid-19, saya akan pastikan perbincangan merancang strategi melawan Covid-19 mesti diteruskan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619