AGENDA

PKP tidak dilonggarkan, peraturan sedia ada kekal

21 Apr 2020, 7:21 AM
PKP tidak dilonggarkan, peraturan sedia ada kekal

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan tidak akan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun jumlah kes positif Covid-19 menunjukkan aliran penurunan dengan hanya 36 kes baharu dicatatkan semalam.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berikutan penurunan jumlah kes baharu di negara ini, ada pihak mula merasakan keperluan untuk melonggarkan PKP.

"Selagi PKP (sedia ada) tidak ditamatkan dan tiada SOP baharu diperkenalkan oleh kerajaan, maka peraturan dalam PKP sekarang terus kekal.

"Oleh itu pematuhan kepada arahan PKP masih menjadi tanggungjawab semua dan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mahu apa yang terjadi di sesetengah negara berlaku di Malaysia, iaitu kes meningkat selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.

"Ada sesetengah negara melonggarkan sekatan mereka apabila kes (positif Covid-19) berkurangan, akhirnya berlaku peningkatan semula hingga terpaksa mengisytiharkan darurat," katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 36 kes positif Covid-19 baharu di negara ini, iaitu jumlah kes terendah dicatatkan sejak 12 Mac lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 946 individu ingkar PKP ditahan semalam, merangkumi 822 orang direman serta 124 lagi diberikan jaminan.

"Daripada 946 individu yang ditahan, 433 adalah di zon merah. Jumlah tangkapan kumulatif sehingga semalam adalah 16,870 orang," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619