AGENDA

Pakar yakin tiada lagi PKP, sekatan raya meski kes Covid-19 naik

7 Feb 2022, 12:20 AM
Pakar yakin tiada lagi PKP, sekatan raya meski kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 7 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksana semula meskipun kes harian Covid-19 melonjak mutakhir ini, kata pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia.

Menurut Prof Madya Dr Malina Osman, situasi kawalan wabak berbeza berbanding dua tahun lalu ketika negara bergelut membendung penularan virus dan mendapatkan bekalan vaksin, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan PKP secara menyeluruh tidak lagi sesuai berikutan menjejaskan pelbagai aspek, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial termasuk halangan pulang beraya.

"Kita perlu tahu bahawa situasi sekarang amat berbeza, dulu tiada liputan vaksin yang baik, kesan varian Delta yang amat teruk dan kit ujian saringan kendiri pula tidak dapat diperoleh dalam harga berpatutan, terhad untuk kemampuan segelintir pihak.

"Kini, semua faktor itu berubah ketara apabila liputan vaksin kita antara terbaik di dunia, kesan klinikal berikutan varian Omicron pula tidak begitu teruk berbanding Delta dan kit ujian saringan kendiri boleh didapati pada harga hampir 90 peratus lebih murah di pasaran," katanya.

Pada 23 Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan PKP Diperketatkan (PKPD) akan dibuat secara bersasar di kawasan yang merekodkan peningkatan kes sahaja.

Jaminan sama disuarakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 3 Februari, yang mengakui kes harian Covid-19 bakal meningkat, namun kelonggaran balik kampung dapat diberikan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619