AGENDA

MKN putuskan lanjut tempoh kawalan atau tidak 30 Mac ini

23 Mac 2020, 7:15 AM
MKN putuskan lanjut tempoh kawalan atau tidak 30 Mac ini

PUTRAJAYA, 23 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac ini bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sebelum tamat pada 31 Mac, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil dalam tempoh itu (PKP) memadai atau perlu dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh tamat pada 31 Mac," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP yang kini berada pada kadar hampir 90 peratus.

"Tetapi masih terdapat mereka yang tidak mematuhi (PKP) yang saya harapkan sampai 100 peratus," tegasnya.

Beliau berkata dari satu sudut, PKP boleh dikatakan berkesan tetapi jika pergerakan dapat dikurangkan ke paras paling minimum iaitu hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, maka ia dianggap berjaya.

Muhyiddin berkata, pihak polis dan tentera sudah diarah menegur orang ramai secara berhemah, supaya mereka segera pulang ke kediaman selepas membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan.

"Sudah ada penambahbaikan dengan tindakan diambil Kementerian Kesihatan dengan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak.

"Ini termasuk kumpulan tabligh yang berbaki belum keluar lagi (membuat saringan Covid-19), kemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan yang positif kalau kiranya data dan angka ini lebih rendah (mereka yang tidak patuh)," katanya.

Muhyiddin juga sekali lagi merayu kepada masyarakat agar duduk di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619