AGENDA

MH370: Kementerian Pengangkutan jumpa PM bincang pampasan kepada waris

8 Mac 2020, 12:14 AM
MH370: Kementerian Pengangkutan jumpa PM bincang pampasan kepada waris

PUTRAJAYA, 8 MAC: Kementerian Pengangkutan dijangka bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Ketua Setiausahanya Datuk Isham Ishak berkata pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

"Saya telah mengemukakan permintaan untuk bertemu Perdana Menteri minggu hadapan supaya dapat membentangkan kertas yang telah disediakan sebelum pembubaran kerajaan baru-baru ini.

“Kami sepatutnya mendapatkan sokongan ini untuk ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapat sokongan yang anda inginkan sejak enam tahun lepas,” katanya pada majlis ulang tahun keenam memperingati kehilangan MH370 di sini semalam.

Isham berkata, kementerian juga akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan baharu bagi meneruskan misi pencarian MH370 yang telah dihentikan sebelum ini.

"Saya tahu terdapat banyak harapan dan saya dapat rasakan, siapa lagi yang anda harapkan selain daripada kerajaan Malaysia,” katanya.

Majlis yang dihadiri waris mangsa insiden MH370 dari seluruh negara itu turut disertai bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata beliau sepatutnya dijadualkan membentangkan kertas Kabinet berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada 26 Februari lepas namun hasrat itu tidak kesampaian susulan kemelut politik ketika itu.

"Memorandum itu amat penting kerana melaluinya, kita sudah mendapat persetujuan daripada peguam waris mangsa untuk penyelesaian membabitkan kes saman di luar mahkamah dengan memberikan pampasan kepada mereka,” katanya.

Loke berkata, beliau akan menemui menteri pengangkutan yang baharu selepas pembentukan Kabinet bagi memohon supaya misi pencarian pesawat malang itu digerakkan semula.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619