AGENDA

Lesen pengendali syarikat lori langgar 14 kenderaan digantung

17 Nov 2023, 2:09 PM
Lesen pengendali syarikat lori langgar 14 kenderaan digantung

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Lesen pengendali syarikat lori, C&L Minerals Sdn Bhd yang terlibat dalam insiden berlanggar dengan 14 kenderaan di Putrajaya pada 20 Sept lepas, digantung 28 hari berkuat kuasa 19 Nov ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu diputuskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas siasatan Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) mendapati syarikat itu tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan.

“Penggantungan itu ditetapkan atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan pemanduan secara berbahaya selain mempunyai jumlah saman kelajuan yang tinggi.

"Adalah ditegaskan selepas tempoh penggantungan itu, sebarang transaksi berhubung Lesen Pengendali bagi syarikat tersebut tidak akan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya pada 20 Sept lepas, lori membawa muatan bahan batuan milik syarikat tersebut telah berlanggar dengan 14 kenderaan dan mengakibatkan dua kematian.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu kelewatan laporan hasil siasatan berlaku kerana terdapat elemen yang memerlukan semakan dan siasatan lanjut secara teknikal daripada agensi terlibat yang mempunyai kepakaran tertentu di bawah MOT.

Menurut MOT ia dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.

“Selaku agensi pengawal selia, APAD tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan MOT juga telah mengarahkan agensi berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.

Pada masa yang sama, pengusaha dan pengendali syarikat turut diingatkan agar memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing serta memastikan aspek kebajikan pemandu terjaga pada setiap masa demi keselamatan pengguna jalan yang lain.

MOT juga berharap tindakan ke atas C&L Minerals Sdn Bhd itu menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal keselamatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619