AGENDA

Suruhanjaya Sekuriti teliti dakwaan terhadap AirAsia dan AirAsia X

2 Feb 2020, 7:38 AM
Suruhanjaya Sekuriti teliti dakwaan terhadap AirAsia dan AirAsia X

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini berkata ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

"Oleh kerana kedua-duanya disenaraikan di Bursa Malaysia, Suruhanjaya akan meneliti dakwaan berkenaan dan menyemak semua bukti yang ada untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang sekuriti,” kata Pengerusi, Datuk Syed Zaid Syed Jaafar Albar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, seorang pengarah syarikat senaraian awam yang melakukan apa-apa dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada syarikat itu atau perbadanan yang berhubungannya adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda.

AirAsia menerusi kenyataannya semalam menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan berkata ia tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) mengenai Airbus atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.

AirAsia berkata demikian merujuk artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” di laman web focusmalaysia.my serta artikel-artikel lain yang tersiar di media berkaitan Persetujuan Pendakwaan Tertunda yang dicapai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.

Artikel berkenaan mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah dikaitkan secara tidak wajar dengan penajaan oleh Airbus untuk sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

“AirAsia secara tegasnya menolak dan menafikan sebarang dan semua dakwaan salah laku ini,” menurut syarikat penerbangan kos rendah itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619