AGENDA

Anwar hargai profesionalisme Jabatan Peguam Negara

14 Jan 2020, 3:56 PM
Anwar hargai profesionalisme Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau atas sikap profesionalisme Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mengumumkan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak, berhubung dakwaan serangan seksual oleh seorang ahli politik, kerana tidak terdapat cukup keterangan untuk berbuat demikian.

"Saya telah meneliti kenyataan Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek hari ini. Saya mengalu-alukan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara tersebut, serta saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, malam ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Engku Nor Faizah berkata setelah mengkaji kesemua keterangan yang diperoleh dalam Kertas Siasatan daripada Polis Diraja Malaysia, AGC mendapati terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

Anwar dalam ciapan di Twitter beliau itu juga berkata sungguhpun dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat bersesuaian dengan proses hukum, namun beliau tidak dapat memaafkan tuduhan dan penghinaan terhadapnya.

"Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini, akan diteruskan," tambahnya.

Media melaporkan bahawa pada 4 Disember tahun lepas, Muhammed Yusoff Rawther iaitu pegawai penyelidik Anwar telah membuat akuan berkanun, mendakwa dirinya diserang Anwar pada 2 Oktober 2018, tetapi Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikan dakwaan berkenaan, kerana beliau sedang sibuk berkempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada masa itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619