AGENDA

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

26 Ogos 2019, 8:39 AM
Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Jabatan Imigresen hari ini menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai kemasukan tiga juta warga China dan kemasukan tidak teratur warga asing ke Malaysia semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata, semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami ganguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual.

Semua pelawat asing juga perlu mematuhi syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

"Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sistem telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

Justeru, Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular.

Sistem rangkaian di KLIA yang mengalami gangguan sejak Rabu malam (21 Ogos) dilihat semakin pulih sejak Sabtu, selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619