BERITA UTAMA

Kerajaan tumpu usaha tingkat pendapatan rakyat sejak RMK-5

24 Ogos 2019, 7:29 AM
Kerajaan tumpu usaha tingkat pendapatan rakyat sejak RMK-5

TUMPAT, 24 OGOS: Kerajaan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, antara dasar yang diperkenalkan kerajaan pada waktu itu adalah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan inflasi supaya rakyat dapat menggunakan wang dengan lebih baik.

"Sama ada suka ataupun tak, kalau dibandingakn dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana jalan macam sekarang. Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang.

"Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pantai Geting di sini, hari ini.

Turur hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Eksekutif SSM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Daim mengulas mengenai dakwaan yang dibuat pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston sebelum ini dilaporkan berkata angka rasmi berkenaan kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Alston dipetik sebagai berkata angka rasmi bergantung kepada langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.

Ditanya berhubung khabar angin berkenaan pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata perkara berkenaan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa sama beliau meminta masyarakat supaya terus memberikan maklumbalas terhadap prestasi wakil rakyat yang dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619