BERITA UTAMA

Tular memo majikan larang solat tidak berasas

2 Ogos 2019, 12:23 AM
Tular memo majikan larang solat tidak berasas

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Isu memo yang mendakwa sebuah syarikat di Kapar, Selangor melarang pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja dan denda sebanyak RM500 sekiranya melanggar arahan tersebut, adalah tidak berasas.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, pegawai di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, telah melakukan siasatan segera pada hari sama, sebagai respons ke atas aduan yang diterima melalui sebuah portal berita.

"Berdasarkan siasatan melalui temubual pekerja tempatan dan pekerja asing secara rawak mendapati, pekerja tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat, atau diedarkan kepada pekerja.

"Pekerja yang ditemubual juga menjelaskan, pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat, dan memberi kebebasan kepada pekerja untuk solat ketika waktu kerja, serta beberapa ruang solat juga ada diwujudkan di dalam kawasan kilang," menurut kementerian itu.

Tambah kementerian itu, pada hari Jumaat pula pihak syarikat memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan pekerja yang beragama Islam boleh menunaikan solat Jumaat, di masjid berhampiran dengan kilang.

Kementerian itu, turut menemui pengarah syarikat berkenaan dan beliau telah menafikan isu yang dihebahkan oleh media tersebut dan menganggap ia adalah sabotaj pihak tertentu, terhadap reputasi dan nama syarikat.

Malah, beliau menjelaskan bahawa tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan kepada pekerja untuk menunaikan solat ketika waktu kerja, dan pihak syarikat turut membuat laporan polis.

"Kesimpulannya, penyiasatan yang dijalankan ke atas syarikat ini secara keseluruhannya mendapati aduan tersebut tidak berasas. Majikan telah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 dari masa ke masa.

"Tiada notis pematuhan yang dikeluarkan dan kes ini disyorkan selesai di peringkat aduan," menurut kementerian itu lagi. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619