BERITA UTAMA

Empat remaja pijak Al-Quran ditahan polis

19 Jul 2019, 8:55 AM
Empat remaja pijak Al-Quran ditahan polis

KOTA BHARU, 19 JUL: Polis Kelantan menahan empat remaja perempuan berhubung satu kejadian memijak al-Quran di Kampung Gobek Gual Ipoh, Tanah Merah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata, kesemua remaja berumur antara 17 dan 18 tahun itu ditahan di rumah masing-masing antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku di tepi jalan dekat jambatan Kusial Lama, Tanah Merah, kira-kira pukul 2.30 petang, 13 Julai lepas.

"Kejadian tersebut berlaku apabila remaja perempuan berumur 17 tahun yang memijak al-Quran itu telah diugut oleh dua lagi remaja berusia 18 tahun untuk mengetahui adakah dia pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelaki seorang daripada remaja berkenaan.

"Remaja itu menafikan telah melakukan hubungan seks sebaliknya dipaksa melakukan sumpah dengan cara memijak al-Quran bagi mengukuhkan penafian tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Wan Khairuddin berkata, bagaimanapun perbuatan itu telah diketahui oleh kakak kepada suspek yang memijak al-Quran itu selepas melihat rakaman di dalam telefon sebelum bertindak membuat laporan polis kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beliau berkata, kesemua suspek termasuk yang membuat rakaman video berkenaan telah ditangkap dan direman bermula hari ini hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619