NASIONAL

Kes menurun, peniaga patuh skim harga maksimum perayaan

19 Jun 2019, 7:51 AM
Kes menurun, peniaga patuh skim harga maksimum perayaan

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Hanya 362 kesalahan dikesan daripada 60,878 premis yang dipantau sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 yang berakhir tengah hari tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada kesalahan itu, 13 kes adalah jualan melebihi maksimum, 307 kes tidak mempamerkan tanda harga khas dan 42 kes tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau turut menyifatkan pematuhan terhadap pelaksanaan SHMMP oleh peniaga amat baik dan cemerlang.

“Bagi kesemua kesalahan itu, RM46,550 jumlah kompaun dikeluarkan dan jumlah barangan rampasan bernilai RM46,623.39 direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), di sini yang turut disertai menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub.

Saifuddin Nasution berkata, SHMMP Pesta Kaamatan pula mencatatkan lima kesalahan daripada 4,775 premis yang dipantau dan membabitkan RM700 jumlah kompaun serta RM194.80 jumlah barangan dirampas.

Katanya, bagi HMMP Hari Gawai pula, hanya dua kesalahan dikesan daripada 4,515 premis yang dipantau membabitkan RM200 jumlah kompaun serta jumlah barangan rampasan bernilai RM179.

"Selain kadar kepatuhan yang tinggi terhadap harga maksimum, banyak premis perniagaan menjual barangan keperluan pada harga lebih murah.

“14 daripada 27 barangan dijual lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan berbanding tahun lalu antaranya ayam bersih, daging lembu import, telur ayam dan cili kering,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tempoh pemanjangan skim itu dari 15 ke 30 hari dan penambahan jumlah barangan kawalan menjadi faktor kejayaan pematuhan harga oleh peniaga.

Katanya, selain itu, ia turut disokong bekalan mencukupi oleh MOA.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619