NASIONAL

Perspektif global penting bagi capai Smart State 2025

3 Mei 2019, 7:37 AM
Perspektif global penting bagi capai Smart State 2025

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 3 MEI: Penjawat awam dan ahli politik di negeri ini perlu mempunyai perspektif bersifat global bagi mencapai sasaran ke arah 'Smart State', pada 2025.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika bertugas sebagai menteri dahulu, beliau banyak memberi tumpuan berkenaan hal Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

"Saya banyak belajar daripada perkara yang berlaku di Vietnam, Indonesia dan Filipina. Nak jadi 'Smart State' kita tidak boleh jadi katak di bawah tempurung. Kena tahu apa yang berlaku di dunia, apa yang Trump buat misalnya. Kena banyak membaca.

"Satu lagi, antara negeri perlu ada semangat untuk bersaing dan jangan terleka. Jadikan negara berprestasi tinggi sebagai tanda aras dan bukan negara yang kurang daripada kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Dialogue@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, universiti di Malaysia perlu bertindak segera terhadap perkembangan pendidikan di seluruh dunia berasaskan kepintaran buatan (AI).

Mustapa berkata, universiti harus menyediakan dan mempersiapkan graduan Malaysia dengan kemahiran yang sesuai selaras perkembangan teknologi.

"Macam-macam perkara baru, universiti kita mesti mempersiapkan ke arah itu. Masa depan akan jauh berbeza daripada masa sekarang.

"Jadi kita kena kerja kuat, kena bersama antara penjawat awam dan politikus dalam membina negara Malaysia supaya dapat diwarisi kepada anak cucu kita," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619