NASIONAL

Pemimpin perlu terbuka dengar pandangan penjawat awam

3 Mei 2019, 7:04 AM
Pemimpin perlu terbuka dengar pandangan penjawat awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menasihatkan pemimpin politik turun ke bawah dan bersikap terbuka mendengar pandangan penjawat awam bagi memastikan setiap polisi dicadang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sikap mesra bersama penjawat awam menerusi perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi perlu diteruskan kerana mereka adalah aset untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.

"Perhubungan ada dua, secara rasmi atau tidak rasmi. Secara rasmi seperti hari ini, duduk, datang dan dengar. Tetapi lebih penting adalah (perhubungan) tidak rasmi. Minum kopi, pergi ke rumah dia, ziarah, tahlil dan berbuka puasa."

"Kalau orang politik hanya menumpukan kepada perhubungan rasmi seperti mesyuarat sahaja, maka tidak berapa berkesan," katanya.

Mengupas tajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam pada program Dialogue@Shah Alam, Mustapa berkata, komunikasi dua hala turut memberikan kesan besar terutama dalam mendapatkan maklum balas di peringkat bawahan.

Katanya, kerajaan juga perlu melabur untuk memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat dengan bentuk yang mudah difahami terutama kepada masyarakat luar bandar.

"Kalau kita mahu sumbat maklumat sahaja tanpa mahu mendapatkan maklum balas, maka ia tidak berkesan. Apabila ada orang mahu berjumpa dengan kita, kita kena lihat secara positif.

"Yang pertama, kita boleh sampaikan mesej kita dan kedua tidak kurang pentingnya kita boleh dapat maklum balas," katanya.

Mustapa berkata, secara keseluruhan Malaysia mempunyai 1.6 juta penjawat awam, 800,000 kakitangan kerajaan berpencen dan 400,000 kakitangan swasta di peringkat GLC yang perlu diberikan perhatian.

"Kita kena bercakap dengan satu suara, bercakap sebagai Malaysia sebuah negara hebat.

"Penjawat awam dan politikus kena bekerjasama kerana kita nak bina Malaysia sebagai negara hebat, untuk anak cucu mewarisi negara kita," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619