SELANGOR

Bekas calon AMK maut ditetak

8 Jan 2019, 1:49 AM
Bekas calon AMK maut ditetak

SHAH ALAM, 8 JAN: Seorang bekas calon Angkatan Muda KEADILAN, maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa M. Thiyaru, 30, diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.

“Motif serangan masih dalam siasatan dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus pegawai penyiasat, ASP Vignesh Kumar, di talian 03-55202222.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak.

Dalam video itu turut kelihatan empat lelaki dan seorang wanita cuba membantu mangsa.

*Sumber: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619