Taufiq Johari diugut USD100,000 dengan video lucah AI

14 Sep 2025, 2:41 AM
Taufiq Johari diugut USD100,000 dengan video lucah AI
Taufiq Johari diugut USD100,000 dengan video lucah AI

SHAH ALAM, 14 SEPT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari, mendedahkan dirinya menjadi mangsa ugutan video lucah palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan niat menjatuhkan maruah dan integritinya.

Menurut Taufiq, beliau menerima emel daripada akaun tidak dikenali pada 12 September yang mengandungi video disunting dengan wajahnya, bersama tuntutan wang sebanyak USD100,000 bagi mengelakkan penyebaran.

“Ugutan ini adalah perbuatan jenayah siber yang amat serius. Justeru, saya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan teknologi AI dalam cubaan menyebarkan fitnah dan pornografi palsu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

“Saya juga akan membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap email ini yang dipercayai datang daripada scammer dan pihak tidak bertanggungjawab.”

Taufiq, yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, menegaskan penyebaran kandungan palsu melalui teknologi AI bukan sahaja mencemar nama baik individu malah mengancam keselamatan masyarakat.

“Saya menyeru orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet. Penyebaran kandungan palsu sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu, tetapi juga mengancam keselamatan masyarakat secara keseluruhan.”

Kes Taufiq bukanlah yang pertama di negara ini membabitkan penyalahgunaan teknologi AI untuk tujuan eksploitasi. Semalam, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli turut mendedahkan menjadi mangsa ugutan video lucah menggunakan AI.

Sebelum ini, pada 2 September lepas, seorang ahli politik di Kedah juga membuat laporan polis selepas menjadi mangsa salah guna AI yang menggunakan wajah dan suaranya di platform media social.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619