4,650 aduan diselesaikan, prestasi MBPJ meningkat

28 Apr 2026, 7:48 AM
4,650 aduan diselesaikan, prestasi MBPJ meningkat

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menyelesaikan 4,650 aduan atau 78 peratus daripada keseluruhan 6,006 aduan yang diterima sepanjang tempoh Januari 2026 hingga Mac 2026.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata aduan yang diterima tertumpu kepada isu seperti penyelenggaraan infrastruktur, gangguan kebersihan, perniagaan tanpa lesen, kacau ganggu dan pembangunan yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

“Pengurusan aduan awam di MBPJ telah menunjukkan tahap peningkatan kecekapan sistem digital, penyelarasan operasi yang lebih berkesan antara jabatan serta penerapan budaya kerja berasaskan prestasi dan data.

“Semua aduan yang diterima daripada pelbagai rangkaian saluran rasmi telah diproses dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang melibatkan proses perekodan terperinci, verifikasi maklumat, semakan teknikal dan pengagihan segera kepada jabatan bertanggungjawab,” katanya pada mesyuarat bulanan hari ini.

Mohamad Zahri menambah MBPJ juga mengamalkan pendekatan berasaskan data (data-driven approach) dalam pengurusan aduan awam bagi meningkatkan keberkesanan penyelesaian isu di lapangan.

“Analisa menyeluruh dilaksanakan terhadap jumlah aduan, kategori isu, corak aduan mengikut kawasan, tahap kepatuhan masa penyelesaian serta aduan berulang bagi membolehkan perancangan yang lebih strategik dan berkesan dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penyelesaian aduan dijalankan secara berkala melalui laporan prestasi bulanan serta pengesahan status tindakan bagi memastikan tahap ketepatan, ketelusan dan keberkesanan tindakan kekal konsisten sepanjang tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyiasat dan penyelia aduan MBPJ atas komitmen profesional serta usaha berterusan dalam memastikan setiap aduan ditutup dengan penyelesaian yang memuaskan.

“Usaha bersepadu mereka bukan sahaja memastikan kecekapan pengurusan aduan awam malah menjadi tulang belakang kepada pembentukan bandar Petaling Jaya yang lebih selamat, teratur, mampan dan responsif terhadap keperluan rakyat,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619