SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 143 kompaun dan melakukan 66 tangkapan menerusi inisiatif PJ City Watch sejak Januari 2006 hingga April 2026 bagi membanteras isu pembuangan sampah haram.
Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, 25 lokasi dikenal pasti sebagai titik panas pembuangan sampah haram dengan 17 daripadanya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bergerak untuk pemantauan berterusan.
“MBPJ turut melaksanakan dua pendakwaan kes yang telah dijatuhkan hukuman, manakala 18 lagi kes berjaya dikesan hasil rakaman CCTV.
“Program berteraskan pendidikan, pemantauan serta penguatkuasaan secara bersasar ini menerima maklum balas positif melalui kaedah pelaksanaannya di kawasan tumpuan awam seperti reruai, PJ Watch@Taman serta PJ Watch@School dalam menjadikan Petaling Jaya Mampan, Pintar dan Berdaya Tahan 2030,” katanya pada mesyuarat bulanan bilangan 4.
Mohamad Zahri menegaskan MBPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara konsisten bagi menangani isu pembuangan sampah haram mengikut peruntukan undang-undang.
“Sehubungan dengan itu, MBPJ menyeru agar warga Petaling Jaya sentiasa komited di dalam menjaga kelestarian bandar raya demi kesejahteraan serta kebahagiaan penduduk,” ujarnya.








