Selangor semak semula operasi kafe siber, kekang salah guna

28 Apr 2026, 5:40 AM
Selangor semak semula operasi kafe siber, kekang salah guna

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri akan menyemak semula pengoperasian kafe siber bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat ditetapkan termasuk mengekang aktiviti tidak bermoral dan penularan maklumat palsu.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata semakan itu akan dilaksanakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam aspek pelesenan serta penguatkuasaan.

Menurutnya, operasi kafe siber berada di bawah bidang kuasa PBT termasuk dari segi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha.

"Operasi kafe siber diletak khusus di bawah PBT termasuk lesen, pemantauan dan penguatkuasaan. Saya akan berbincang dengan EXCO berkaitan untuk melihat semula mekanisme kerana dahulu pergi ke kafe siber bermain 'game' dan 'chatting' sahaja tetapi kini berbeza.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan PBT akan semak semula daripada segi kandungan dan perkhidmatan disediakan sebab khuatir pengguna khususnya anak muda akses pelbagai maklumat yang kita tidak sempat pantau," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari berhubung pemeriksaan berkala di kafe siber yang menjadi tumpuan anak muda dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Mohd Najwan memaklumkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bekerjasama dengan syarikat besar dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia.

"STDC merupakan salah satu agensi yang kita beri ruang khususnya kepada anak muda peroleh pekerjaan di syarikat besar seperti Daikin, Proton dan Perodua selain mendapat sijil kelayakan. Ini ruang anak muda berkemahiran dan mempunyai potensi besar.

"Penggerak Belia Selangor (PeBS) juga memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan melaksanakan program latihan berskala kecil tetapi beimpak tinggi secara terus di peringkat komuniti seperti bengkel asas kemahiran digital, pemasaran media sosial, e-dagang serta pendedahan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (Al)," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619