Mat rempit lawan arus elak polis gagal, 751 saman dikeluarkan

19 Apr 2026, 9:02 AM
Mat rempit lawan arus elak polis gagal, 751 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Tindakan menunggang motosikal melawan arus dikenal pasti antara taktik digunakan mat rempit untuk meloloskan diri daripada kepungan polis dalam operasi bersepadu di Jalan Tun Razak pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata perbuatan itu dikesan sepanjang Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan yang bermula dari 10 malam semalam hingga 7 pagi tadi, membabitkan 102 pegawai dan anggota polis.

“Dalam keadaan kelam-kabut, ada yang sanggup menunggang melawan arus untuk cuba melepaskan diri, namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi.

Beliau berkata operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan lima anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (16 anggota), dan empat anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mohd Zamzuri berkata keseluruhan 750 motosikal dan 80 kereta diperiksa manakala 751 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan, dengan 98 motosikal turut disita.

“Hasil pemeriksaan, dua individu ditangkap kerana positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan kini dalam proses ujian pernafasan kedua,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata pihaknya akan mempergiat operasi dari semasa ke semasa susulan aduan orang awam yang tinggi, khususnya berhubung kegiatan samseng jalanan di sekitar kawasan Menara Tabung Haji Selborn, Jalan Tun Razak.

Beliau berkata kawasan berkenaan yang berhampiran dengan hospital dan kediaman, terus menjadi tumpuan kerana dijadikan lokasi perlumbaan haram dan tempat mempamerkan motosikal yang diubah suai walaupun operasi penguatkuasaan kerap dilakukan.

“Malam ini kita lihat motosikal disita atas pelbagai kesalahan. Salah satunya adalah ubah suai motosikal, tak ada brek dan satu tangkapan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu nombor pendaftaran diubah suai,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan lima tangkapan dibuat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 menerusi Ops Mabuk, manakala dua lagi tangkapan dibuat dalam Ops Khas Bersepadu di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 108 akta sama.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti merempit, selain mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan semua pihak.

Sepanjang operasi, JPJ mengeluarkan 59 notis saman manakala AADK menahan dua individu yang didapati positif dadah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619