Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026

28 Apr 2026, 2:19 AM
Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026
Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026
Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026
Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026
Liga Muay Thai Selangor platform cungkil bakat ke SUKMA 2026

SUBANG JAYA, 28 APRIL: Liga Muay Thai Selangor (SML) Vol 2.0: Rise of Heroes dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan bakat muda sukan itu sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Kejohanan yang berlangsung di NU Empire Shopping Gallery, Subang Jaya itu disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Turut hadir Penasihat Muaythai Negeri Selangor Tan Sri Abu Kassim, Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor Syamsul Tahrin Mohd Tahir.

Seramai 250 atlet dari beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Sarawak dan Terengganu menyertai kejohanan tersebut.

Liga itu mempertandingkan kategori junior dan senior, selain memperkenalkan kategori khas tag team lima lawan lima bagi junior dan campuran bagi menambah kelainan.

Kejohanan Liga Muay Thai Selangor (SML) Vol 2.0: Rise of Heroes di NU Empire Shopping Gallery, Subang Jaya pada 26 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Penganjuran liga berkenaan turut mendapat sambutan memberangsangkan kelab dalam dan luar Selangor sekali gus mengukuhkan pembangunan sukan Muay Thai di peringkat negeri.

Atlet Muay Thai, Muhammad Rizqi Rayyan, 15, berkata penglibatannya dalam sukan itu sejak tiga tahun lalu banyak membentuk disiplin diri selain membuka peluang untuk bertanding di peringkat lebih tinggi.

“Saya mula sebab ayah minta dan rasa Muaythai ini lebih mudah untuk mula sebab boleh main secara individu.

“Pengalaman sertai liga ini memang seronok sebab dapat jumpa ramai kawan, walaupun latihan dan proses ‘cut weight’ agak mencabar,” katanya yang menyasarkan penyertaan ke SUKMA.

Seorang lagi atlet, Muhammad Hariz, 11, berkata minat terhadap Muay Thai timbul sejak 2022 dan semakin mendalam selepas berpeluang menyertai pertandingan.

“Saya gembira dapat bertanding dan menang walaupun pada awalnya rasa takut.

“Harapan saya nak pergi lebih jauh sampai ke One Championship,” katanya.

Kejohanan Liga Muay Thai Selangor (SML) Vol 2.0: Rise of Heroes di NU Empire Shopping Gallery, Subang Jaya pada 26 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, jurulatih Muay Thai Selangor, Jake Low Gek Lin berkata liga berkenaan menjadi medan penting untuk menguji kemampuan atlet dengan penyertaan dari pelbagai negeri.

Beliau berkata ramai atlet menunjukkan potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat SUKMA sekiranya diberi pendedahan dan latihan berterusan.

“Kita tidak tahu siapa lawan kita, jadi atlet perlu sentiasa bersedia dan tampilkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Setakat ini perjalanan program dan kejohanan sangat baik,” katanya.

Liga itu dijangka diteruskan dengan tiga lagi siri sepanjang tahun ini sebagai usaha berterusan membangunkan bakat muda Muay Thai di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619