Selangor sasar 10 pingat emas e-sukan SUKMA 2026

28 Apr 2026, 1:04 AM
Selangor sasar 10 pingat emas e-sukan SUKMA 2026
Selangor sasar 10 pingat emas e-sukan SUKMA 2026
Selangor sasar 10 pingat emas e-sukan SUKMA 2026

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pasukan e-sukan Selangor meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 10 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus optimis menguasai keseluruhan kategori dipertandingkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata sasaran itu disifatkan realistik berdasarkan tahap persediaan rapi selain kekuatan barisan atlet yang telah direkrut.

“Saya dimaklumkan oleh pengurus pasukan bahawa atlet e-sukan Selangor mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya 10 emas,” katanya kepada Media Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau yang juga bapa angkat sukan itu turut menyuarakan keyakinan tinggi untuk menguasai sepenuhnya acara e-sukan dalam temasya berkenaan.

“Kita yakin boleh ‘tapau’ kesemua pingat emas yang dipertandingkan dalam kategori e-sukan,” katanya.

Menurutnya, persiapan pasukan dilakukan secara menyeluruh termasuk pemilihan atlet terbaik dalam beberapa disiplin utama seperti Mobile Legends, catur dan kategori lain.

"Kita telah merekrut atlet bagi acara seperti Mobile Legends, catur dan beberapa kategori lain.

"Sebagai bapa angkat e-sukan Selangor, saya yakin kita mampu membawa pulang 10 emas untuk negeri ini," katanya lagi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim dalam program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor pada 6 Mac 2026, Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk meneruskan SUKMA 2026 menjadi suntikan semangat kepada atlet selepas sebelum ini berdepan ketidaktentuan.

"Dalam keadaan tidak pasti sebelum ini, ia sedikit sebanyak menjejaskan moral atlet.

"Namun selepas perkenan Tuanku, mereka kembali bersemangat dan lebih yakin untuk memberikan prestasi terbaik," ujarnya.

Selain itu, beliau berkata Kota Damansara turut mempunyai venue sukan menembak yang akan digunakan bagi temasya berkenaan.

"Saya dimaklumkan dan melihat sendiri Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menurap jalan masuk ke kawasan lapang sasar bagi memudahkan akses.

"Pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan bersama Persatuan Menembak Selangor bagi memastikan kemudahan berada pada tahap terbaik," tambahnya.

Beliau berkata, penyediaan kelengkapan termasuk peralatan dan peluru latihan membolehkan atlet menjalani latihan secara konsisten tanpa gangguan.

"Dengan kemudahan dan sokongan ini, atlet kita dapat terus berlatih seperti biasa tanpa berdepan kekangan besar.

"Ini penting bagi memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik menjelang pertandingan," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keutamaan penganjuran SUKMA perlu diberikan kepada pembangunan atlet berbanding elemen lain.

"SUKMA ini bukan mengenai wakil rakyat, VVIP, Menteri Besar atau EXCO semata-mata, tetapi tentang atlet.

"Jika perlu, majlis pembukaan dan penutupan boleh dikurangkan atau dibatalkan bagi menjimatkan kos serta memberi tumpuan kepada atlet. Bagi saya, ia tidak menjadi masalah kerana keutamaan adalah kepada atlet," katanya.

SUKMA 2026 mendapat perkenan Sultan Selangor untuk diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619