Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

25 Apr 2026, 2:36 AM
Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

SHAH ALAM, 25 APRIL: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

“Saya ingin memaklumkan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan cadangan pelantikan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan yakin Abdul Halim mampu menggalas tanggungjawab berkenaan berdasarkan pengalaman luas serta tahap integriti yang tinggi.

“Beliau dijangka dapat memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.

Pelantikan Abdul Halim bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menyandang jawatan itu dan dijadualkan tamat pada 12 Mei ini.

Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini," titahnya di Facebook.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619